PERHATIAN KPD SEMUA KAWAN-KAWAN!!!!

May 17, 2008

PERHATIAN KEPADA SEMUA KAWAN-KAWAN !!!!

URL SAYA DAH BERTUKAR KE ALAMAT

http://www.kerdipanbintang.blogspot.com

(P/s – tukar dari wordpress ke blogspot )

Maaf atas kesulitan kawan-kawan semua…

TERIMA KASIH

RASHID 17 MEI 2008


Apa berlaku pada minda orang berjaya?

May 13, 2008

Apakah sebenarnya yang berlaku pada minda seseorang yang bertukar dari seorang yang biasa kepada seorang yang berjaya?.

Aku tertarik dengan pandangan pakar Psikologi yang telah melukis gambaran mengenai sel-sel ini sebagai satu yang berbentuk seperti buah pear.

Buah Pear? sukar untuk aku bayangkan… hee hee

Menurut pakar Psikologi itu lagi,

“… ia tersusun di dalam kumpulan-kumpulan seperti segugusan buah anggur. Sebelum kita dilahirkan, tidak satupun sel ini ‘jaga’. Semuanya ‘tidur’ dan kelihatan seperti putik-putik bunga yang belum kembang. “

“Tetapi sebaik saja kita dilahirkan, beberapa sel tertentu akan terjaga. Sel-sel ini tidak akan ‘terjaga’ pada waktu yang sama atau dalam kelajuan yang sama. Sel-sel yang mengawal pernafasan, menangis, makan dan sebagainya akan ‘jaga’ terlebih dahulu. “

“Selepas itu sel-sel lain yang mengawal pergerakan seperti berjalan, membezakan dsb turut akan ‘terjaga’. Sel-sel lain akan terjaga setengahnya apabila kita berumur 5 tahun, 10, 20, 30, 40, 50, 60, 70 dan mungkin lebih daripada itu. “

Pakar-pakar psikologi menimbulkan persoalan;

“Bandingkan apa akan jadi pada kita jika kita hanya separuh jaga. Kita hanya menggunakan sebahagian kecil dari minda kita. Sebaliknya terdapat sesuatu di dalam diri kita iaitu satu ‘kuasa’ yang mana tidak pernah kita ketahui dan tidak pernah menggunakannya…”

Sebaik saja habis rangkap di atas, aku tertanya-tanya pada diri sendiri. Adakah aku masih / hanya menggunakan sebahagian kecil minda … untuk kehidupan seharian selama ini?

Aku harus terobos diri. Muhasabah diri. Refresh diri. Mencari sesuatu yang bermakna. Melakukan sesuatu.. memperolehi sesuatu…

p/s – Penulis mengambil bahan persoalan ini dari buku Frank Tibolt, Sentuhan Kejayaan…


ibu, terima kasih segala-galanya

May 10, 2008

Tiada ucapan seindah ucapan “terima kasih ibu…”


Anda senyum dia pasti tersenyum

May 8, 2008

Apabila ditanya mengenai rahsia personaliti yang baik, seorang pemimpin pernah berkata:

“Saya tidak ada apa-apa yang rahsia. Sebenarnya anda masih belum belajar mengenai kehidupan. Tidakkah anda perasan yang anda boleh memberi warna kepada kehidupan, atau anda memang boleh menentukan reaksi yang anda mahu daripada orang yang anda temui.”

Pemimpin tersebut menambah lagi.

“Sememangnya amat mudah. Jika anda mahu mereka senyum pada anda, senyumlah dahulu. Jika anda mahu mereka mempunyai minat terhadap anda, tunjukkanlah yang anda juga berminat dengan mereka. Jika anda mahu mereka memuji anda, pujilah mereka dahulu. Orang akan melayan anda seperti anda melayan mereka. Sememangnya tidak ada rahsia. Lihatlah diri anda. Anda akan dapat buktikannya apabila anda berjumpa dengan orang yang baru anda temui.”

Lord Chesterfield berkata:

“Perasaan suka seorang yang lain adalah seperti magnet yang terkuat untuk menarik perasaan yang sama dari orang tersebut.”

Goethe, berkata:

“Jika anda mahu orang suka dan gembira bertemu anda, anda juga mesti mempunyai perasaan yang sama. Tunjukkan perasaan itu.”

p/s – saya setuju ngan ini. terbukti…


Berkursus lagi…

May 6, 2008

6 – 8 Mei – Aku terlibat dengan Kursus Pendedahan Tugas Penyelaras LDP (Latihan Dalam Perguruan) dan Pembangunan ICT Sekolah-Sekolah Negeri Kelantan.
Tempat: Hotel Seri Malaysia, Marang Terengganu.

>>>>>>>>>> bertolak jam 1.00 ptg dari KK, Kelantan & sampai di Hotel Seri Malaysia, Marang jam 5.00 ptg. Lama juga aku drive kereta….apa taknya hanya 90..100..110 (paling lajule tu. tak berani lebih-lebih).

Sepanjang perjalanan, buah limau jadi teman (ubat ngantuk).

p/s – seronok jumpa kawan-kawan dari seluruh negeri Kelantan. Semuanya kawan baru.


Manusia akan berhenti membuat pensel…

May 5, 2008

“Salah satu tanda yang anda semakin matang ialah apabila anda sanggup bertanggungjawab terhadap kesilapan anda,” kata Dr. Wayne Morrison, profesor psikologi di sebuah universiti di Midwest, A.S.

“ Mengakui kesilapan sendiri memerlukan keberanian dan kebijaksanaan, terutama apabila kesilapannya itu agak tidak masuk akal.”

“Saya membuat silap setiap hari dan ini akan berterusan sepanjang hidup saya. Bagaimanapun, saya cuba tidak mengulangi kesilapan yang sama buat kali kedua pada hari yang sama, tetapi hal ini agak sukar bagi saya pada kebanyakan masa.”

“Bagaimanapun, saya berasa tenang setiap kali memegang pensel. Saya mengambil kesimpulan bahawa apabila orang tidak lagi buat silap, maka manusia akan berhenti membuat pensel yang ada pemadam.”

p/s – teringat, ada ahli psikologi (lupa nama) pernah berkata, ada tiga ucapan yang ‘simple tetapi mempunyai nilai yang besar’.
1. terima kasih …
2. minta maaf …
3. minta tolong…


Tanam rambutan tumbuh ubi kayu

May 5, 2008

Suatu hari di sebuah kampung kecoh apabila Pak Pandir memanggil wartawan datang ke rumahnya. Bila para wartawan sampai mereka pun bertanya kepada Pak Pandir:

“Ada apa yang menarik ni Pak Pandir?”.

“‘Tenguk ni.. aku tanam pokok rambutan tapi tumbuh pokok ubi kayu.. hehehe.” Pak Pandir menjelaskan apa yang berlaku.

“Waaa pelik ni Pak Pandir.. cuba cerita kat kami, apa sebenarnya yang telah terjadi?” tanya seorang wartawan.

“Lima bulan dulu aku ada tanam pokok rambutan kat sini.. aku ingat lagi sebab aku ada tandakannya kat sini” Pak Pandir menceritakan sambil tangannya menunjukkan arah ke tanah.

“Dengan apa Pak Pandir tandakannya?” tanya wartawan tersebut.

“Dengan batang ubi kayu” jawab Pak Pandir bersahaja…dengan mukanya yang selamba.

“Cis! Cis!!!” wartawan berlalu meninggalkan Pak Pandir.


Kopi boleh berfungsi mengikut keadaan?

May 4, 2008

Kelmarin aku singgah makan di sebuah warung. Lokasinya cantik – tepi pantai. Makan kue teow lakna, makanan kegemaranku. Sambil makan sempat aku perhatikan persekitaran warung tu. Lihat manusia-manusianya. Lihat persekitaran warung. Kreatif juga pemiliknya kerana hiasannya agak menarik. Ceria dengan kehijauan pokok-pokok berdaun. Aku tengok pengunjungnya pun ramai, tak putus-putus.

Dalam asyik perhatikan suasana kedai tu, aku pandang menu yang ada di dinding kedai.

Wah.. pelbagai menu ada. Tapi yang menarik perhatian aku ialah nama kopi. Ia, nama kopi. Pelbagai nama kopi terpampang jelas di sebelah kaunter bayaran. Ada kopi campuran tongkat ali, kopi ginseng, kopi radix, kopi merah, kopi janggut, kopi jantan, kopi larat (eh eh… ada gak nama ‘kopi janggut’, ‘kopi larat’…hee heee. Macam dah kehabisan nama, fikirku)

Apa kasiatnya kopi?

“Menurut eksperimen yang dijalankan ke atas tikus di makmal, kopi boleh membunuh haiwan itu jika diberikan dengan terlalu banyak atau berlebihan !!!”

Namun ada kajian yang menyebut pelbagai kasiat kopi. Malah bau kopi dikatakan boleh merangsangkan ke atas beberapa bahagian badan. Saluran darah akan mengembang dan ini menolong peredaran darah. Keadaan ini juga boleh menolong menghindar beberapa jenis bahan beracun terkumpul di dalam otak.

Kopi juga boleh meningkatkan kadar denyutan jantung dan nadi. Kopi meningkat keupayaan otot untuk bekerja dan ini boleh meningkatkan keupayaan seseorang itu bekerja. Usus juga akan menjadi lebih aktif selepas seseorang itu minum kopi. Ini boleh menghalang penyakit sembelit daripada berlaku.

Kopi merangsang kelenjar perut supaya membebaskan lebih banyak bahan penghadaman. Ini adalah baik untuk penghadaman tetapi tidak baik untuk orang yang menghidap penyakit gastrik.

Kopi boleh berfungsi mengikut keadaan.

Di sebelah pagi, kopi menolong buah pinggang di dalam sistem perkumuhan, iaitu membuang segala bahan yang terkumpul sejak malam. Selepas makan tengahari, kopi menolong proses penghadaman pula.

Di sebelah petang, kopi menolong otot-otot supaya lebih berupaya dan kita akan berasa kurang penat.
Di sebelah malam pula, kopi memainkan peranannya yang tersendiri. Ia akan merangsangkan otak.

Bagi penggemar kopi, kopi boleh diminum asalkan tidak meminumnya secara berlebihan. Bukan sahaja kopi, tetapi apa juga benda yang diambil secara berlebihan, kesan dan akibatnya adalah tidak baik.

(Sumber: Mustafa Ali Mohd, Panduan Kesihatan: Apa Yang Anda Perlu Tahu)

p/s – aku perhatikan di kedai-kedai kopi, pakcik-pakcik lebih banyak minum teh & teh O daripada kopi. Malah aku lihat kawan-kawan aku sendiripun lebih banyak minum teh. Kenapa agaknya? Adakah kerana malu nak order dan sebut nama-nama kopi tu…aku tersenyum…


Sungguh murni keperibadian Rasulullah s.a.w.

May 3, 2008

1 jam 30 minit aku memandu dari Jerteh, Terengganu ke KK, Kelantan. Ada kerja sikit di sana…sampai di rumah dah jam 9.30 malam.

“Fuh! penat juga memandu ni. Nasib baik waktu malam. Angin sejuk. Tenang je suasana”.
Sepanjang perjalanan, kubuka siaran ‘Hindi Power’ … dengar lagu hindi. Lagu baru & lagu lama berselang-seli. Terhibur juga hati mendengarnya. Bukan main petah si DJ tu berceloteh. Lengkap dengan ‘translate’ lagu sekali, hindi ke melayu.

Sampai je di rumah, terus kubuka peti sejuk. Minum. Kemudian…mcm biasa, buat sedikit persiapan untuk esok hari. Perancangan kerja.

“Apa nak buat sepanjang hari esok? Soalan ni dah jadi soalan rutin bagi aku di malam hari. Apa saja terlintas di fikiran, aku catat je di buku catatan ‘Senarai Kerja Esok’. Buat tak buat..sempat tak sempat, lain kira.

Sebelum tidur sempat kucapai majalah Sinar Rohani. Ku baca satu artikel, “Bersifat Tawaddhu’: Contohilah Rasulullah s.a.w.” oleh Drs. Wan Aminurrashid.

Aku tertarik dengan dua petikannya:

Petikan pertama

Pernah pada suatu ketika sesudah baginda berkuasa dan memerintah seluruh tanah Arab, datanglah seorang lelaki mengadap baginda. Lelaki tersebut datang dalam keadaan sangat takut, gementar dan tunduk mendapatkan Rasulullah bagaikan mengadap sultan atau raja sesebuah negeri. Melihatkan keadaan demikian lantas baginda berkata kepada lelaki tersebut:

“Hai biasa sajalah anda, permudahkanlah halmu kerana sesungguhnya aku ini bukan raja. Aku hanya anak seorang perempuan Quraisy yang merupakan bangsa yang makan daging panggang…”

Petikan kedua

Pernah juga satu ketika sewaktu pulang dari pasar, Abu Hurairah meminta untuk membawa pulang seluar yang baru dibeli oleh Rasulullah s.a.w kerana menurut Abu Hurairah sebagai Rasulullah dan pemimpin umat Islam adalah tidak manis dipandang sekiranya baginda membawa sendiri seluar tersebut di tengah-tengah orang ramai di pasar. Tapi apa kata Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w berkata, “Biarlah aku membawa sendiri sebab orang yang memiliki barang adalah lebih berhak membawanya…”.

Sungguh murni keperibadian Rasulullah s.a.w.

Sambil menaiki tangga (mau tidur), terlintas juga aku pada Lao Tze (ahli falsafah China).

Lao Tze pernah berkata:

“Alasan mengapa sungai dan laut menerima ratusan aliran sungai di pergunungan adalah kerana ia tetap meletakkan kedudukan mereka di bawah. Maka dari itu mereka mampu menguasai semua sungai dari pergunungan. Demikian juga orang yang bijak, yang ingin mengatasi orang lain, harus menempatkan diri mereka di bawah. Mereka yang ingin berada di hadapan, harus menempatkan diri mereka di belakang. Dengan demikian, walaupun kedudukannya lebih tinggi, orang lain tidak berasa keberatan”.

Arghhhhhhhhhhhhh ngantukkk zzzzzzzzzzzzzzzzzzz


Ingatan adalah seumpama baju yang indah…

May 3, 2008

Kita sering lupa. Lupa apa yang kita baca (khususnya berupa fakta), lupa tarikh penting, lupa telefon kawan, lupa balas sms, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi.

Kenapa ya kita sering lupa?

Saya memetik pandangan Hermine Hilton, seorang pakar dalam bidang daya ingatan. Beliau memberi kunci daya ingatan yang pada pandangan saya ‘simple tapi menarik untuk direnungi bersama’.

Menurut Hermine Hilton,

“Ingatan adalah seumpama baju yang indah. Semua orang mampu memilikinya tetapi tidak semua orang menggunakannya dengan sebaik mungkin. Jika baju yang cantik hanya disimpan di dalam almari, sampai bilapun orang tidak akan dapat menilai keindahannya. Jika baju itu anda pakai dan peragakan baharulah orang dapat menilai keindahannya dan anda dapat merasa keselesaannya. Oleh itu kunci daya ingatan adalah sama ada anda menggunakannya atau tidak. Lebih banyak anda menggunakannya maka lebih tajamlah daya ingatan anda…”

Tips menajamkan daya ingatan:

1. Amalkan Tidur Yang Cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat / data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

2. Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa kita tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan terganggu. Kita akan ebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Kita juga tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan dengan baik seperti membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya (merenung bintang…hee hee).

3. Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

4. Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup kita tidak ceria. Kita sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan kita dan membuat kita tidak hirau dengan apa yang terjadi di persekitaran. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

5. Awasi Pengambilan Ubat
Daya ingatan mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

6. Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya ikutserta menghasilkan ‘blog’, berkursus tentang kemahiran tertentu atau menghadiri ceramah dan motivasi.

7. Bermain
Bermain sesuatu permainan yang dapat merangsang minda. Banyak permainan berteknologi kini boleh diperolehi secara percuma mahupun berbayar. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

8. Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

9. Katakan Berulang Kali
Untuk meningkatkan daya ingatan tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga kita benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

10. Fokus
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya kita sering fokus dalam sesuatu perkara, contohnya matlamat hidup. Kita juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

11. Bermain Dengan Angka
Dalam mengingati angka, kita mesti asah minda dengan cuba bermain dengan angka-angka tersebut seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan, nombor kereta dsb.
Selain itu, kita boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

12. Membaca Al-Quran
Amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

(p/s – petua membaca al-Quran ni diamalkan oleh Siti Fatimah Mukhtar, Pelajar cemerlang SPM 2006 dari Kelantan – dari SMA Maahad Muhammadi Perempuan. Beliau berjaya mendapat 17A1 dan 1A2)